15.3.09
Bimbing Rakyat Tangani Kemerosotan Ekonomi : Raja Nazrin
IPOH, 16 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah mahu agar rakyat diberikan penerangan mengenai situasi ekonomi yang merosot sekarang serta diberikan bimbingan dan panduan untuk menanganinya.
Baginda mencadangkan agar khutbah dan majlis-majlis di masjid mengambil peranan membantu menyampaikan mesej yang betul kepada rakyat manakala jentera pentadbiran kerajaan perlu memberi fokus kepada usaha untuk meringankan kesusahan rakyat.
"Keadaan ekonomi diramalkan akan melalui kemelut yang panjang. Dijangka ekonomi dunia pada tahun 2009 akan menguncup buat pertama kalinya sejak Perang Dunia Kedua," titah baginda pada persidangan ke-165 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di sini hari ini.
Sebelum itu baginda mengurniakan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan pembayaran zakat perniagaan dan tanaman dan pelancaran M-Zakat.
Raja Nazrin bertitah bahawa orang ramai yang kehilangan pendapatan akibat pemberhentian kerja atau berkurangan pendapatan akibat harga komoditi yang merudum, dan urus niaga yang semakin lembab, perlu diberikan perhatian.
Baginda berharap jentera pentadbiran kerajaan mempermudahkan prosedur kerja bagi mempercepatkan tindakan dan mengurangkan karenah birokrasi manakala keperluan asas rakyat daripada segi bahan makanan, tempat tinggal, keselamatan, kesihatan dan pendidikan mestilah terus dijamin.
Raja Nazrin menjelaskan bahawa keadaan ekonomi yang buruk ini berlaku di serata dunia yang menyebabkan manusia akan melalui satu suasana hidup yang sangat tertekan dan ramai yang akan sampai ke peringkat terdesak untuk melakukan apa sahaja untuk terus hidup.
Kejadian jenayah seperti ragut, pecah rumah, mencuri, merompak dan menyamun dijangka meningkat manakala aktiviti penyeludupan termasuk dadah dan kebanjiran imigran juga boleh meningkat, titah baginda.
Raja Nazrin bertitah bahawa dalam suasana begini, tenaga anggota polis amat perlu ditumpukan untuk mengawal keadaan jenayah, ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Baginda mengingatkan parti politik, badan bukan kerajaan dan rakyat supaya bersimpati dan memahami beban berat yang terpaksa dipikul oleh anggota polis.
"Kegiatan-kegiatan politik yang keterlaluan dan berlebihan akan turut menambah beban tugas polis," titah baginda.
Dipetik daripada BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment