13.3.09

PERPADUAN PENTING UNTUK KELANGSUNGAN MELAYU ISLAM

Umat Islam perlu melihat kembali kemelut politik, sosial dan ekonomi sekarang dengan bermuhasabah diri sempena sambutan Maulidur Rasul yang disambut di seluruh negara. Dengan tema sambutan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah', umat Islam perlu kembali menghayati kesatuan dan perpaduan yang kini semakin menipis di kalangan mereka akibat pelbagai pertelagahan kerana perbezaan fahaman politik dan percanggahan pendapat.

Kemelut ini semakin jelas melebar kebelakangan ini sehingga menimbulkan kebimbangan semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu. Sekiranya ia terus dibiarkan, umat Islam di negara ini bukan saja gagal mewujudkan perpaduan seperti dituntut agama malah bakal melemahkan lagi kedudukan mereka di negara ini.

Sudah tiba waktunya kita kembali menghayati sejarah kehidupan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW yang berusaha keras untuk membentuk masyarakat melalui akidah Islamiah sehingga mampu mewujudkan kesatuan yang dikagumi.

Rasulullah SAW berdepan dengan cabaran getir, terutama ketika awal penyebaran Islam di Makkah sehingga Baginda terpaksa berhijrah ke Madinah dan berjaya membentuk kesatuan ummah yang akhirnya mencatat sejarah penting dalam perkembangan Islam di seluruh dunia. Kemelut yang dihadapi umat Islam kini perlu dirujuk kembali kepada sejarah perjuangan Rasulullah SAW sekiranya mereka ingin kembali menjadi masyarakat dan bangsa yang dihormati.

Seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin , Rasulullah SAW amat mementingkan kesatuan dan perpaduan sehingga membolehkan Islam menjadi agama yang berpengaruh sehingga kini. Malangnya, sebahagian umat dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka tercetus pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa manusia lantaran kemurkaan Allah.

Jelas sekali masyarakat Islam kini bukan saja berdepan dengan perbezaan aliran politik dan pendapat, malah budaya buruk fitnah-memfitnah dan benci-membenci mulai menghancurkan ummah. Sehubungan itu, pemimpin Islam dari semua peringkat perlu duduk semeja untuk berbincang bagi menangani masalah dihadapi kini. Keadaan yang berlaku cukup gawat dan membimbangkan semua pihak, terutama mereka yang cintakan perpaduan.

Kita tidak boleh membiarkan masalah umat Islam ini berterusan sehingga menjejaskan keselamatan dan kemakmuran negara. Selepas 1,430 tahun Nabi Muhammad SAW membina kesatuan ummah yang teguh, kita perlu bermuhasabah diri bukan saja untuk mencari jawapan kenapa kita berpecah belah tetapi kembali bersatu. Ini penting bagi meneruskan kelangsungan Melayu dan Islam di negara tercinta ini.

Dipetik dari: pedang-pejuang.blogspot.com

No comments: