Saya selama ini, walaupun mengikuti dengan dekat
perbahasan samada kita harus meneruskan PPSMI
ataupun tidak, telah mengambil keputusan untuk
berdiam diri. Ini kerana saya mempunyai prinsip,
adalah tidak efisien untuk mengubah masyarakat
sedia ada, bentuk sahaja masyarakat yang baharu.
Sebagai seorang pensyarah, saya berusaha membentuk
masyarakat Malaysia yang baharu melalui pendidikan
tetapi sebagai rakyat biasa, saya menghalang diri
dari terlibat secara aktif dalam isu-isu kontemporari.
Walaubagaimanapun, prinsip ini terpaksa saya pecahkan
selepas menonton rancangan Point of View yang
ditayangkan di NTV 7 pada 9 Januari 2009 lalu.
Lantas saya mengambil inisiatif untuk menulis
artikel ini.
Saya amat kritikal dengan soalan yang diajukan
(dalam bahasa Inggeris) oleh hos rancangan tersebut
kepada Puan Noor Azimah Abdul Rahim, Pengerusi PAGE,
yang dalam Bahasa Melayu berbunyi “kenapa tidak kita
mencontohi masyarakat Jerman dan Jepun yang
menggunakan bahasa ibunda mereka didalam pengajaran
dan pembelajaran di sekolah (merujuk kepada subjek
sains dan matematik)”. Jika ia hanyalah satu soalan,
sudah tentu tidak mengapa, tetapi hakikat yang sebenar
ia lebih daripada itu. Saya dapati, ia sudah menjadi
hujah dan alasan yang menjadi pegangan dan kepercayaan
ramai masyarakat Malaysia, terutamanya bagi mereka
yang menentang perlaksanaan PPSMI . Bukan ini yang
pertama, tetapi sudah berkali-kali saya mendengar
hujah yang sama digunakan di pelbagai lokasi dan
perjumpaan termasuk peringkat universiti.
Saya akan tunjukkan dalam penulisan ini bahawa
hujah tersebut tidak terpakai (invalid) dalam
konteks PPSMI, maka, janganlah digunakan lagi.
Kita tidak sama dengan masyarakat Jerman dan Jepun
Saya mulakan dengan pernyataan, masyarakat Jerman
dan Jepun bukan seperti yang kita sangkakan. Mereka
bukan pengikut dan pelajar ilmu sains dan matematik
seperti kita, sebaliknya mereka adalah antara pencipta
ilmu-ilmu tersebut. Sebagai pencipta, mereka yang
pertama dan paling berautoriti dalam menentukan
lenggok bahasa, terma-terma, simbol-simbol dan
malah cara pemahaman. Mereka juga adalah penulis buku
yang tebalnya banyak mencecah beribu mukasurat.
Maka, layaklah mereka mengunakan bahasa ibunda
mereka sebagai medium perantaraan dan penyebaran
ilmu-ilmu tersebut. Kata lainnya, mereka yang
menentukan segala peradaban dan peraturan.
Kita yang masih belajar, suka atau tidak terpaksa
mengikutinya sehinggalah ketahap kita mampu mencipta
ilmu-ilmu kita sendiri. Dan seperti kata Tun Mahathir
(cendikiawan yang mencetuskan idea PPSMI ini),
perlaksanaan PPSMI bukanlah untuk meningkatkan
kemahiran Bahasa Inngeris seperti yang difahami
ramai, tetapi sebaliknya, ia adalah untuk meningkatkan
kemahiran dan pemahaman sains dan matematik itu sendiri.
Sebelum kita pergi jauh dengan perbincangan ini, ingin
saya nyatakan bahawa, walaupun saya amat tergoda untuk
mengulas kedua-dua masyarakat, tetapi kerana faktor
waktu dan ruang, saya memutuskan untuk membincangankan
masyarakat Jerman sahaja.
Pencapaian ahli sains dan matematik Jerman
Ramai daripada kita tidak mengetahui pencapaian dan
sumbangan sebenar ilmuan Jerman. Sebagai contoh, ramai
daripada kita merasakan kalkulus adalah ciptaan seorang
Inggeris bernama Isaac Newton (1642-1727). Sebenarnya,
cuma kalkulus berbentuk perbezaan (differential calculus)
sahaja ciptaan beliau, kalkulus berbentuk kamiran
(integral calculus) adalah ciptaan ahli matematik Jerman,
Gottfried W. Leibniz (1646-1716). Sehingga sekarang, masih
lagi didebatkan siapa sebenarnya yang pertama mencipta kalkulus,
kerana ada khabar yang mengatakan Newton mendapat idea
tentang kalkulus selepas membaca tulisan Leibniz.
Selain itu, Newton sendiri pernah mengatakan bahawa jika dia
dapat melihat lebih jauh berbanding orang lain, ini adalah
kerana dia berdiri di atas ‘gergasi - gergasi’ dan salah
seorang ‘gergasi’ yang beliau maksudkan ialah
Johannes Kepler (1571-1630), seorang ahli astronomi
dan matematik Jerman. Jika ditanyakan pula soalan pada
ahli-ahli matematik, siapa yang lebih penting diantara
Newton ataupun Carl Friedrich Gauss (1777 – 1855) saya
yakin, lebih ramai ahli matematik akan memilih Gauss.
Beliau adalah pencipta teori nombor ketika berumur
24 tahun. Beliau juga adalah yang pertama mencadangkan konsep
nombor kompleks. Jika masyarakat Inggeris berbangga dengan
George Gabriel Stokes (1819 – 1903) dengan teorem penukaran
kamiran luas kepada kamiran garisan, Gauss jauh lebih awal
tampil dengan teorem penumpuan (convergence theorem) iaitu
teorem penukaran kamiran isipadu kepada kamiran luas.
Bagaimanapula dengan Georg Friedrich B. Riemann (1826 – 1866),
ahli matematik Jerman yang mencipta kalkulus tensor,
geometri pembezaan, geometri bukan Euclidian,
teori manifold dan pelbagai lagi?
Bukankah hipotesis beliau yang dipanggil fungsi zeta Riemann
adalah hipotesis yang paling ingin dibuktikan kebenaran atau
kesalahannya oleh ahli-ahli matematik seluruh dunia dewasa
ini selepas pembuktian Teorem Terakhir Fermat oleh
Professor Andrew Miles daripada Cambridge pada tahun 1994.
Ada ramai lagi ahli matematik dan sains Jerman yang tidak
saya bincangkan dan saya hanya senaraikan mereka seperti
di bawah. Tanyalah pada mana-mana saintis Malaysia,
mereka pasti mengenali nama-nama di bawah walaupun
masyarakat am di Malaysia mungkin tidak mengenali.
i) Karl Gustav Jacob Jacobi (1804 – 1851)
ii) Gustav Robert Kirchhoff (1824 – 1887)
iii) Hermann Von Helmholtz (1821 – 1894)
iv) Karl Theodor Wilhelm Weierstrass (1815 – 1897)
v) David Hilbert (1862 – 1943)
vi) Karl Ernst Ludwig Marx Plank (1858 – 1947)
vii) Albert Einstein (1879 – 1955)
viii) Werner Heisenberg (1901-1976)
ix) Max Born (1882 – 1970)
x) Werner Magnus Maximilian Freiherr Von Braun (1912 – 1977)
Mungkin ada yang perasan, Albert Einstein yang amat
terkenal itu hanya saya selitkan di dalam senarai di
atas. Tujuan saya adalah untuk menegaskan betapa
masyarakat Jerman bertuah mempunyai terlalu ramai
tokoh-tokoh intelek sehinggakan, Einstein terlihat
seperti hanyalah seorang dari ratusan yang lain.
Kegemilangan universiti Gottingen
Adalah persepektif yang biasa bagi rakyat Malaysia
untuk mengenali universiti-universiti seperti Cambridge
dan Oxford di United Kingdom serta Harvard, Yale
dan Princeton di Amerika Syarikat sebagai yang terbaik
di dunia. Ini adalah benar, tetapi dalam konteks zaman
sekarang. Tahukah kita bahawa, sebelum peperangan dunia
kedua, universiti-universiti di Jerman jauh lebih maju.
Bukti pernyataan saya ini boleh dilihat dengan
membincangkan petikan di bawah:
“Of all the papers read at the Congress, I recall
the brilliant one by Von Karman…That work, done in
Gottingen at Prandtl’s laboratory, is probably the
very best…Karman was disputed by Lamb…that old man
was displeased that such brilliant work had been
done in Germany not in England…Germany, owing to the
better contact there between pure and applied science,
was appreciably ahead of England” – Timoshenko (1968)
Petikan di atas adalah catatan biografi
Stepan P. Timoshenko (1878-1972) yang dikenali
sebagai Bapa Mekanik Kejuruteraan. Beliau begitu
terkenal sehinggakan anugerah medal Timoshenko telah
dianggap sebagai anugerah Nobel dalam bidang kejuruteraan.
Walaupun beliau berbangsa Rusia, tetapi beliau menjalankan
penyelidikan PhD di Universiti Gottingen di Jerman.
Theodere Von Karman (1881-1963) pula, walaupun berbangsa
Austrian – Hungary, adalah professor yang amat terkenal di
Gottingen. Sementara itu, Sir Horace Lamb (1849-1943)
adalah professor berbangsa Inggeris di Universiti Manchester
berpendidikan Universiti Cambridge. Dalam petikan di atas,
terdapat tiga fakta untuk kita pelajari, yang pertama,
sebelum perang dunia kedua, Universiti Gottingen telah
jauh kehadapan berbanding Cambridge. Yang kedua,
di Jerman, sains tulen dan sains applikasi tidak
dipisahkan malah dikaitkan antara satu sama lain
sehingga menjadi faktor kemajuan yang mereka kecapi.
Ketiga, persaingan antara ahli intelek Inggeris dan
Jerman telah berlanjutan sejak zaman Newton dan
Leibniz sehinggalah ke hari ini.
Keagungan Gottingen diserlahkan lagi apabila 44
pemenang anugerah nobel boleh dikaitkan dengannya.
Di sini, saya cuma senaraikan sebahagian pemenang
Noble dalam bidang fizik.
Max Born (1954) Max Plank (1918)
Paul A. M . Dirac (1933) Enrico Fermi (1938)
Wolfgang Pauli (1945, 1989) Otto Stern (1943)
Eugene P. Wigner (1963) Werner Heisenberg(1932)
Universiti Gottingen dan Heidelberg begitu hebat
sehinggakan, di dalam peperangan dunia kedua, pihak
Bersekutu telah bersetuju untuk tidak melancarkan
serangan bom ke atas universiti-universiti ini.
Pihak Jerman pula bersetuju untuk tidak menyerang
Universiti Cambridge dan Oxford.
Kesimpulan
Apa yang saya hujahkan di atas adalah bukti-bukti
kemajuan bangsa Jerman khususnya dalam bidang sains
dan matematik sebagai pelopor dan pencipta ilmu-ilmu
tersebut. Saya berharap hujahan ini dapat menyokong
pernyataan saya iaitu, dalam konteks PPSMI, kita
tidak seperti Jerman, kita belum lagi mencapai
status pencipta, sebaliknya kita masih lagi
berstatus pengikut dan pelajar ilmu-ilmu sains
dan matematik. Tetapi ini hanya separuh dari
keseluruhan hujahan. Sepatutnya, saya perlu terus
berhujah kenapa, dengan berstatus ‘pengikut’ atau
‘pelajar’, kita sebagai sebuah masyarakat perlu
meneruskan PPSMI. Tapi selepas dua hari saya mencuba,
saya dapati usaha untuk menulis hujahan ini amat sukar
kerana masyarakat kita, pada pendapat saya terlalu
ketinggalan dari aspek akademik aliran perdana.
Selain dari itu, masyarakat kita telah terlalu tegar
dengan sifat optimistik yang berlebihan.
Ketidakmuafakatan kita dalam isu PPSMI, sebagai contoh,
adalah disebabkan kejahilan kita dalam memahami
hakikat sains dan matematik dalam konteksnya yang
kontemporari meliputi aspek kemajuannya, pemahamannya,
pengajarannya, aplikasinya dan masa depannya.
Berani saya nyatakan, sains dan matematik bukan
seperti yang ramai sangkakan. Ia bukan setakat kemahiran
mengira. Ia adalah semua yang berkaitan dengan idea.
Kemajuan dan penggunaan sains dan matematik terlalu
mendalam sehinggakan tiada cara untuk saya sampaikan
kepada umum dalam penulisan ini. Dakwaan saya ini,
jauh dari meredakan keadaan, pasti mengundang lebih
banyak kontroversi. Saya arif akan keadaan ini dan
inilah sebabnya, seperti yang saya nyatakan diawal
penulisan, saya lebih ingin berdiam diri dan tidak
melibatkan diri secara aktif dalam perkara-perkara
sebegini. Mungkin, saya akan kembali semula pada
prinsip saya yang asal. Sebelum saya mengundur diri,
saya ingin membuat pernyataan terakhir, sains dan
matematik hanya boleh difahami, dikuasai dan
dimanupulasi oleh masyarakat kita jika kita
terus melaksanakan PPSMI.
Wallahualam.
DR. AIRIL SAMETOK
Universiti Teknologi Malaysia,
Email: airilyasreen@yahoo.com
Blog: http://airilsametok.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment