15.3.09

Ketua Puteri Perak Tarik Diri

IPOH 14 Mac: Ketua Puteri Umno Perak, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Naib Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti 24 hingga 28 Mac ini. Beliau turut menarik diri daripada mempertahankan jawatan Exco pergerakan itu. Wan Norashikin, 36, berkata keputusan berkenaan dibuat kerana beliau ingin memberi tumpuan terhadap kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang awal bulan depan.

"Saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi parlimen berkenaan," katanya kepada Bernama.

Wan Norashikin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah berkata, beliau telah menghantar surat penarikan diri daripada bertanding keduadua jawatan itu kepada Umno petang tadi.

"Saya telah membuat pengumuman berkenaan pada mesyuarat Exco Puteri Umno sebelum menghantar surat berkenaan," katanya.

Katanya, selaku Ketua Puteri Umno Negeri, tanggungjawab membantu BN memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang sudah cukup berat untuk dipikul dan beliau tidak mahu usaha itu terganggu dengan pemilihan jawatan parti.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah memberikan sokongan dan berharap mereka memahami pengorbanan yang telah saya buat... saya tetap akan bersama Puteri Umno dan memainkan peranan dalam kapasiti sedia ada," katanya.

Wan Norashikin yang juga Ketua Puteri Bahagian Pasir Salak mendapat 31 pencalonan untuk merebut jawatan Naib Ketua dan merupakan antara lima calon yang layak bertanding.

Dipetik Dari Perakkite

3 comments:

Anonymous said...

TAHNIAH KPD KETUA PU3 PERAK SEBAB CERDIK DAN BIJAK BUAT KEPUTUSAN

Anonymous said...

satu keputusan yang tepat demi kebaikan parti

Anonymous said...

Hebatnya ketua puteri perak sebab sanggup berkorban demi parti...tabik spring untuk Dr.Wan